Jurgen Klopp menegaskan keputusan mengecewakan Liverpool kebelakangan ini bukan berpunca daripada tahap keyakinan pasukan itu.

Selepas seri 0-0 dengan Manchester United, Sabtu lalu, ia bermakna Liverpool hanya menang sekali sahaja dalam lapan perlawanan terakhir mereka.

The Reds kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lapan perlawanan selain tersingkir dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) kepada Leicester City serta seri dalam dua perlawanan awal Liga Juara-Juara (UCL).

Situasi itu meletakkan barisan pemainnya terdesak untuk melegakan situasi mereka yang dalam keadaan sukar.

Bagaimanapun, bekas bos Borussia Dortmund itu berkata tiada sebab untuk mereka berasa tidak yakin susulan tahap yang dipersembahkan mereka kebelakangan ini.

Bercakap menjelang pertembungan dengan Maribor dalam aksi UCL awal pagi esok, dia memberitahu: "Kami perlu yakin. Terdapat kekecewaan selepas perlawanan kerana kami berhak meraih keputusan lebih baik. Kami dalam keadaan baik dan tidak sabar untuk aksi seterusnya.

"Kami berjuang tinggi untuk meraih tempat dalam UCL.

"Kami tewas dua perlawanan, satu dalam Piala EFL dan satu lagi ketika kami beraksi 10 orang menentang Manchester City. Buat masa ini, 99 peratus pasukan di dunia ini akan tewas kepada Manchester City, mengapa kami akan kehilangan keyakinan?"

Liverpool tercicir dua mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Sevilla, menjelang pertemuan dengan juara Slovenia, Maribor, dan Klopp mencabar pasukannya untuk mencapai keputusan yang wajar mereka raih menerusi persembahan mereka kebelakangan ini.

"Kami berdepan saat getir di peringkat kumpulan. Kami perlu fokus dan berani untuk berdepan pasukan mantap dalam kancah Eropah," katanya.

"Mereka sebuah pasukan yang baik. Kami ada tugas dan tidak memikirkan perlawanan seterusnya.

"Kami membazirkan mata dengan persembahan yang baik. Kami perlu beraksi dengan sangat-sangat baik dan meraih keputusan.

"Kami telah menonton dua aksi Maribor. Mereka sering kali melancarkan serangan dan sebuah pasukan handal di Slovenia.

"Mereka gemar menyerang ketika bertemu Sevilla dan Spartak Moscow. Kami perlu bersedia dengan pertembungan ini," katanya lagi.