Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak memiliki kepastian mengenai masa depan Daniel Sturridge di Anfield sambil menegaskan ia merupakan keputusan yang tidak akan dibuat sehingga penghujung musim ini.

Sturridge, yang bergelut mendapatkan masa bermain di bawah Klopp, hanya tampil sebagai pemain utama dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia mungkin mencari kelab lain pda penghujung musim 2016-17, namun Klopp memberitahu dia tiada sebarang jaminan sama ada dia akan meninggalkan kelab ataupun tidak.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku musim panas nanti. Bukan hanya dia tetapi ramai pemain lagi," jelas Klopp.

"Sturridge tidak menjalani latihan selama lapan atau sembilan hari kerana mengalami jangkitan kuman. Kami perlu mengembalikannya ke tahap terbaik dan cuba mengakhiri musim ini dengan sebaik yang mungkin.

"Kemudian, kami akan membuat keputusan mengenai masa depannya dan pemain-pemain lain selepas tamat saingan musim ini.

"Banyak perkara yang mempengaruhi dan kami akan membincangkan perkara ini bila tiba masanya."

Sturridge, yang menyertai Liverpool dari Chelsea pada 2013, telah menjaringkan enam gol dalam semua kejohanan musim ini.

Skuad bimbingan Klopp kini menduduki tangga kelima Liga Perdana selepas tewas 3-1 kepada Leicester City, semalam.