Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, mahu pasukannya terus mempamerkan taring dengan menewaskan Southampton malam ini sambil menuntut sokongan padu penyokong di Anfield.

Liverpool bakal melayan kunjungan Southampton berbekalkan rekod kemenangan dalam kesemua enam perlawanan dalam setiap kejohanan musim ini, termasuk jaringan pada saat-saat akhir daripada Roberto Firmino sewaktu menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, Klopp mengingatkan pasukannya bahawa mereka perlu mengekalkan prestasi sama untuk berdepan Southampton, pasukan yang disifatkannya mampu memberi cabaran getir.

"Ayuh pamerkan aksi terbaik kerana saya masih ingat ketika semua orang bercakap tentang tujuh perlawanan seterusnya pada dua atau tiga minggu lalu, tiada siapa menyebut Southampton dan ia agak lucu," kata Klopp.

"Saya harus mengingatkan pemain-pemain dan itu adalah cabarannya, perlu fokus untuk aksi seterusnya. Ia tugas penting.

"Sentiasa perlu mencari penyelesaian, tunjukkan taring seperti apa yang sering saya katakan. Kami harus sentiasa berada dalam situasi itu. Bagi kami, tiada apa yang berubah. Keadaan dalam pasukan agak baik tetapi kami tidak terbawa-bawa dengannya ketika latihan. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih.

"Jika saya melihat seorang pemain hilang fokus, saya akan marah. Setakat ini, tiada siapa memberi peluang itu kepada saya tetapi ia tetap boleh berlaku. Kami harus menunjukkan kepada Southampton betapa sukarnya apabila bertandang ke Anfield dan itu yang perlu kami lakukan malam ini," katanya lagi.

Prestasi Liverpool dalam saingan liga dilihat satu kesinambungan daripada pencapaian di pentas Eropah musim lalu dan Klopp menuntut penyokong di Anfield untuk membantu pasukannya menewaskan Southampton.

"Sukar apabila dalam sebuah perlawanan, satu pasukan beraksi di pertengahan minggu dan lawannya mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan diri kerana tidak melalui cabaran sama.

"Southampton beraksi pada awal pagi Selasa lalu, jadi dalam situasi ini, mereka hanya beraksi kurang sehari berbanding kami," tambah Klopp.

"Sentiasa ada perbezaan di antara permainan pada Selasa dan Sabtu tetapi ia tidak sepatutnya menjadi masalah. Ia tidak akan menjadi masalah utama dan saya yakin kami akan membuktikannya."

Dalam masa sama, Klopp juga tanpa berselindung menunjukkan rasa hormat dan menyatakan minat terhadap pasukan bimbingan Mark Hughes itu walaupun hanya meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan setakat ini.

"Jannik Vestergaard adalah pemain bek tengah yang bagus dan memiliki fizikal yang baik. Pierre-Emile Hojbjerg turut membantu. Shane Long, Danny Ings serta Manolo Gabbiadini, masing-masing mempunyai kualiti tersendiri. Ings tidak boleh bermain dan Gabbiadini mungkin tidak turun tetapi masih ada Long dan Charlie Austin.

"Mereka juga memiliki James Ward-Prowse. Dia tidak beraksi dalam perlawanan terakhir tetapi tetap hebat. Mereka mempunyai pasukan yang bagus. Keupayaan pertahanan tepi seperti Ryan Bertrand dan Cedric Soares tidak perlu dipertikai.

"Jadi, kami harus bersedia. Apa yang kami lalui minggu lalu atau musim lalu dalam Liga Juara-Juara tidak penting.

"Tiada siapa yang penat pada waktu ini. Kami akan bersedia untuk aksi malam ini tetapi Liverpool harus mempamerkan taring sebenar."

Bekas tonggak Southampton yang kini mewakili The Reds, Dejan Lovren, masih tidak dapat beraksi walaupun telah kembali menyertai sesi latihan sambil Dominic Solanke, Divock Origi dan seorang lagi bekas pemain The Saints, Adam Lallana, akan turut terlepas aksi malam ini.