Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh pasukannya menjelang pertemuan dengan Manchester United di Old Trafford, esok.

Skuad bimbingan Jose Mourinho kini telah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut dan tidak tewas dalam 15 perlawanan menjelang perlawanan di antara dua kelab gergasi Inggeris ini di laman keramat Manchester.

Liverpool pula, kini menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris, bergelut dalam beberapa perlawanan sebelum ini, seri dengan Sunderland dan Plymouth Argyle (Piala FA) sebelum tewas di tangan Southampton dalam perlawanan separuh akkhir pertama Piala EFL.

Bagaimanapun, Klopp tidak sabar menantikan cabaran yang bakal hadir buat pasukannya dan berkata tiada apa yang harus dibimbangkan oleh pemain-pemainnya.

"Tiada apa yang harus ditakutkan, pada saat ini, apa-apa sahaja boleh berlaku," ujar pengendali dari Jerman itu.

"Berkemungkinan United gagal mempamerkan kualiti terbaik mereka pada Ahad nanti, tiada siapa yang tahu apa yang bakal terjadi.

"Saya tidak takut menghadapi perlawanan ini. Pengalaman saya akan memberikan bantuan kepada saya."

Skuad kendalian Klopp tewas 1-0 kepada Southampton pada Rabu, dengan Klopp memberitahu pemain-pemainnya tidak sabar untuk bangkit semula dalam perlawanan seterusnya.

"Saya menghadapi banyak kekalahan dalam hidup saya, terutama sekali sebagai pemain dan sebagai pengurus. Pada saya, ia bukan satu masalah untuk menerima kekalahan," kata Klopp.