Klopp: Liverpool terlalu terburu-buru di awal permainan

By Sacha Pisani 18 October 2016
Klopp: Liverpool terlalu terburu-buru di awal permainan

Jurgen Klopp berkata Liverpool kurang bersabar selepas menyaksikan pasukannya seri tanpa jaringan dalam aksi bertemu Manchester United, awal pagi tadi.

Gaya permainan lancar yang diterapkan Klopp telah digagalkan oleh skuad kendalian Jose Mourinho dan kedua-dua pasukan gagal mempamerkan aksi yang mantap.

United mengecewakan Liverpool di Anfield manakala David de Gea berjaya menidakkan usaha anak buah Klopp untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

"United beraksi untuk mendapatkan keputusan seri, sebaliknya kami mahu mencari kemenangan, jadi kelebihan berpihak kepada mereka," kata Klopp.

"Kami gagal mengawal kesabaran pada awal permainan, itu merupakan masalah pertama kami, kemudian kami gagal melakukan hantaran yang kemas.

"Walaupun mengawal permainan sebanyak 65 peratus, anda harus berjaya mendapatkan keputusan lebih daripada sekadar seri," tambahnya.

Klopp memuji penjaga gol United, De Gea, yang berjaya menampan dua percubaan daripada Emre Can dan Philippe Coutinho dalam separuh masa kedua.

"Itu adalah cara dia bermain di Liverpool! De Gea bermain cara yang sama ketika berkunjung ke Anfield tahun lalu.

"Anda dapat lihat dalam perlawanan ini, Man United mempamerkan permainan fizikal yang lebih baik daripada kami.

"Kami telah banyak menghabiskan tenaga dalam separuh masa pertama kerana banyak melakukan larian tetapi gagal mencipta sesuatu.

"Dalam separuh masa kedua, kami telah menghasilkan beberapa percubaan dan sepatutnya dapat menjaringkan gol.

"Bagaimanapun, ia merupakan satu keputusan yang positif kerana tahun lalu kami tewas kepada mereka."

 

About Author

Sacha Pisani

Comment