Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, sedar dia kini berada dalam keadaan terdesak untuk meraih kejuaraan susulan tindakan kelab itu yang berbelanja besar dalam jendela perpindahan.

Liverpool di bawah bimbingan Klopp telah melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara Eropah serta menamatkan saingan liga di tempat keempat pada musim lalu dan The Reds dilihat berbelanja besar bagi menghadapi saingan 2018/19.

Alisson muncul selaku penjaga gol termahal dunia selepas datang ke Liverpool dari AS Roma menerusi yuran perpindahan GBP65 juta (RM346 juta) sambil Klopp turut membawa masuk khidmat Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri ke Anfield.

Kali terakhir Liverpool meraih kejuaraan adalah ketika musim 2011/12 setelah menjulang Piala Liga sambil kemarau status juara liga gagal ditamatkan sejak 1990.

Ketika ditanya sama ada Liverpool -- yang kini berada di Amerika Syarikat untuk aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) -- perlu memenangi trofi pada musim ini, Klopp berkata: "Benar apa yang anda katakan dan orang ramai turut menyebutnya. Ia adalah langkah seterusnya.

"Bola sepak tidak sama dengan berbasikal, jadi kami telah terlepas banyak perkara. Apabila saya melengkapkan satu sesi, saya harus berhenti dan bermula semula.

"Saya berkata: 'Empat pemain, satu barisan, itu cara kami bertahan.' Ia bukan disebabkan pemain-pemain tidak mahu melakukan dengan cara yang berbeza tetapi terdapat perubahan besar yang sedang berlaku.

"Pemain baru datang ke kelab, pemain yang kembali selepas lama meninggalkan pasukan; anda menjadi lebih baik atau kurang baik. Apabila anda mempunyai pasukan yang lengkap, anda boleh membina pasukan dengan lebih baik.

"Saya yakin kami dapat melakukannya pada musim lalu. Kami tidak kehilangan segalanya tetapi anda harus bekerja dan mendapatkannya semula.

"Bola sepak yang kami mainkan pada tahun lalu bukan mudah. Ia memerlukan banyak perkara yang harus diusahakan. Itu yang akan kami lakukan semula. Saya tidak ragu-ragu bahawa rutin kami kami mampu membawa kami ke arah pencapaian itu.

"Saya mahu mendapatkan permulaan terbaik tetapi anda tahu semua perkara boleh berlaku dan orang ramai akan mempersoalkannya. Saya tidak mempersiapkan pemain-pemain untuk permulaan yang suram kerana saya tidak mahu tetapi ia tetap boleh berlaku, saya tidak menafikannya.

"Saya memasuki tahun ketiga dan setiap musim, akan ada tmepoh di mana orang ramai bertanya tentang perkembangan kami atau mempersoalkan saya. Pada akhirnya, segalanya baik. Saya bersedia untuk detik itu.

"Saya tidak mahu menghadapinya tetapi tidak boleh mengabaikannya. Kami harus bekerja dalam situasi yang berbeza buat setiap pemain. Pemain baru akan membuatkan kami 100 peratus lebih kuat. Bagaimana? Bermula dalam kesebelasan utama, datang dari bangku simpanan, melalui saiz skuad yang ada. Kami akan lihat tetapi ia tidak berlaku pada hari pertama.

"Pasukan lain sudah pasti melalui jendela perpindahan yang baik. Mereka tidak akan menjadi lebih lemah berbanding tahun lalu.

"Manchester City membawa masuk Riyad Mahrez. Saya tidak mendengar tentang mereka melepaskan mana-mana pemain setakat ini. Jadi, ia bermaksud kualiti tahun lalu ditambah dengan Mahrez. Satu rancangan yang bijak.

"Manchester United juga akan melakukan perkara sama dan ia normal. Kami menjangkakan lebih lagi daripada diri sendiri.

"Kami akan mencabar kejuaraan dan setiap trofi yang ada tetapi ia tidak bemaksud saya boleh duduk di sini dan kami akan meraihnya. Kami memiliki keinginan yang tertinggi, itu satu kepastian," tambahnya.