SOUTHAMPTON 1 LIVERPOOL 0

Jurgen Klopp kesal dengan corak permainan Liverpool selepas gol tunggal perlawanan yang diledakkan oleh Nathan Redmond memberikan Southampton bekalan dalam saingan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL).


The Saints pernah dibelasah anak buah Klopp 6-1 dalam saingan sama musim lalu, namun mereka mengekang asakan The Reds buat kali kedua musim ini untuk membawa kelebihan satu gol ke Anfield, dua minggu lagi bagi aksi timbal balik.

Redmond memiliki tiga lagi peluang untuk meletakkan pasukan dalam kedudukan selesa dan Klopp kecewa pasukannya gagal membuat keputusan dengan tepat susulan aksi hambar dalam saingan Piala FA ketika menentang Plymouth Argyle, hujung minggu lalu.

"Kami bermula seperti biasa, namun selepas gol itu, reaksi kami kurang baik," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Kami gagal menepati waktu, kami agak kucar kacir. Hampir semuanya berbeza dan ia tidak bagus.

"Mungkin tidak sukar untuk dijelaskan. Kami mengambil keputusan yang salah, kami patut melakukannya dengan lebih baik.

"Ia perlawanan merebut piala dalam aksi di tempat lawan. Jika anda dibolosi, ia bukan satu masalah tapi anda harus bertindak balas.

"Aksi 20 minit pertama mempamerkan kami berada di laluan yang betul, permainan terbuka adalah sukar. Mereka mempunyai peluang terbesar kerana kami tidak cukup tersusun.

"Penjaga gol kami, Loris Karius, terpaksa menyelamatkan pintu gol kami beberapa kali.

"Southampton berhak menang tapi untuk separuh masa kedua, jadi semuanya dalam keadaan baik."

Kelibat Philippe Coutinho menjadi tumpuan ramai apabila kembali beraksi selepas dilanda kecederaan yang meminggirkannya hampir dua bulan, bagaimanapun pemain itu masih memerlukan masa untuk mengembalikan rentaknya.

Klopp memberi pujian terhadap pemain itu yang diberi peluang beraksi selama setengah jam.

"Semuanya bagus, bagus untuk mendapatkan khidmatnya kembali.

"Anda boleh saksikan dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan betapa pentingnya dia buat kami."