LIVERPOOL 4 STOKE CITY 1

Pengendali pasukan, Jurgen Klopp, percaya jaringan Roberto Firmino sangat penting buat dirinya ketika Liverpool menewaskan Stoke City 4-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Penyerang kelahiran Brazil itu gagal meledak sebarang gol dalam enam perlawanan menjelang pertemuan di Anfield serta menjadi tajuk utama berita di England selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Klopp mengelak daripada memberikan ulasan mengenai masalah peribadi Firmino tetapi gembira melihat dia kembali menjaringkan gol.

"Firmino bermain dengan baik dan dia berhak menjaringkan gol itu," kata Klopp kepada Sky Sports.

"Saya tidak akan bercakap mengenai masalahnya di luar padang tetapi Firmino juga memiliki masalah ketika beraksi buat Liverpool kebelakangan ini.

"Dia merupakan pemain yang penting untuk kami.

"Ia merupakan gol yang menarik, pertahanan lawan tidak menjangkakan dia akan menjaringkan gol dari jarak itu.

Selain Firmino, Daniel Sturridge juga meledak gol sulung dalam saingan Liga Perdana Inggeris sebaik dia dibawa masuk pada separuh masa kedua.

"Jaringan daripada Sturridge juga sangat penting buat kami.

"Dia dilihat sudah kembali cergas. Kami akan kehilangan khidmat Sadio Mane ketika Piala Negara-Negara Afrika, jadi Daniel mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kebangsaan Senegal itu."