Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berharap pasukannya berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan liga selepas melakukan penambahan beberapa nama berprofil tinggi.

Klopp telah memperkuatkan pasukannya dengan kehadiran Naby Keita, Fabinho dan Xherdan Shaqiri, sambil penjaga gol AS Roma, Alisson, dilaporkan semakin hampir ke Anfield.

Mohamed Salah dan Roberto Firmino telah menandatangani kontrak baru, sekali gus melenyapkan spekulasi tentang masa depan mereka.

Klopp, yang bakal membawa pasukannya membuka tirai Liga Perdana Inggeris pada musim ini berdepan West Ham United pada 12 Ogos ini, berkata dia gembira melihat kemasukan pemain berbanding jika ada yang meninggalkan pasukan.

"Saya tidak yakin sepenuhnya tetapi mungkin ini adalah tahun pertama kami tidak menjual pemain utama," katanya.

"Terdapat banyak perubahan dalam kedua-dua arus kemasukan dan perpindahan keluar. Kini, ia lebih kepada satu arah. Jelas sekali apabila bercakap tentang pasukan besar dan berjaya, jika anda tidak membelinya, anda harus membinanya.

"Ia bermaksud kekal bersama, lakukan penambahan dan mulakan langkah," ujarnya.

Tatkala mungkin akan ada beberapa pemain yang mengikut jejak langkah Emre Can yang keluar untuk menyertai Juventus, perpindahan pemain itu adalah satu-satunya nama besar yang meninggalkan pasukan.

Klopp menjelaskan pasukannya memahami akan keperluan untuk menambah pemain baru bagi memantapkan keperluan pasukan dalam usaha bersaing di pentas yang menyaksikan The Kop berada di tangga keempat liga, musim lalu.

"Musim lalu, kami memiliki 12 pemain yang cergas. Mereka tahu kami memerlukan lebih banyak nama. Mereka langsung tidak mempersoalkannya.

"Namun, mereka tahu kami memerlukan kualiti dan apabila memenangi sesuatu, kami akan mendapatkannya dengan 25 pemain. Itulah apa yang kami rasakan," katanya lagi.