Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, telah diperkenalkan dalam Dewan Kemasyhuran Persatuan Pengurus Liga (LMA).

Sebagai menghargai pencapaian bersejarah dalam dunia bola sepak, LMA telah memperkenalkan kedua-dua pengurus itu semalam tatkala Guardiola dan Klopp sedang bersaing bagi merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Bayern Munich, Guardiola, kini memburu trofi liga yang ketiga berturut-turut sambil Klopp berusaha untuk menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat Liverpool sejak 1990.

"Satu penghormatan apabila menjadi sebahagian daripadanya, untuk sepanjang hidup saya dan generasi akan datang setelah berada dalam Dewan Kemasyhuran bola sepak Inggeris," ujar ketua jurulatih City itu yang kini telah memiliki tujuh trofi sejak tiba dari Jerman tiga tahun lalu.

"Tiada kata untuk saya jelaskan rasa syukur dan menjadi sebahagian daripada keluarga ini."

Dilantik pada 2015, Klopp telah mengemudi The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara dan Piala Super Eropah setelah bergelar naib juara kejohanan berprestij Eropah itu pada musim 2017-18.

"Ini sangat istimewa, menjadi sebahagian daripada kumpulan pengurus yang besar," katanya.

"Malam ini, keluarga saya dan ramai jurulatih ada di sini. Saya mahu mereka ada di sini, ia penting untuk sejarah keluarga."

Liverpool -- kini lapan mata mendahului carta liga -- akan melayan kunjungan Brighton and Hove Albion sambil City bertandang ke Newcastle United esok.