LIVERPOOL 0 MAN UTD 0

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menggambarkan emosi yang bercampur selepas The Reds sekadar seri tanpa jaringan dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pertembungan kedua-dua pasukan ini gagal menepati ramalan pra-perlawanan, dengan skuad kendalian Jose Mourinho berjaya mengikat pasukan tuan rumah untuk berkongsi mata.

Zlatan Ibrahimovic memiliki peluang, namun tandukannya hanya melewati palang gol manakala David de Gea berjaya menampan keluar percubaan Philippe Coutinho.

Klopp meluahkan perasaan gembira kerana buat pertama kali mereka berjaya untuk tidak dibolosi tetapi kecewa kerana gagal menembusi benteng pertahanan United.

"Emosi yang bercampur-campur," kata Klopp. "Kami gagal mempamerkan permainan terbaik kami.

"Kami telah mencuba untuk mendapatkan situasi satu lawan satu tetapi United mempamerkan kualiti mereka untuk mematahkan usaha kami.

"Mereka tidak mempunyai banyak peluang, satu percubaan mereka berada di kedudukan ofsaid manakala satu lagi tandukkan daripada Ibrahimovic.

"Kami mempunyai tiga atau empat peluang, De Gea telah berjaya mempamerkan kualitinya. Ia merupakan kali pertama kami tidak dibolosi."