Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata dia tidak mengambil pusing mengenai kebocoran maklumat oleh Nike bahawa Philippe Coutinho akan ke Barcelona.

Pemain Brazil itu -- yang terlepas aksi kemenangan 2-1 di Burley awal pagi tadi akibat masalah kecil di paha -- telah dikaitkan dengan pasukan gergasi Catalan berkenaan sejak permulaan musim ini,

Nike menghangatkan lagi khabar angin itu apabila mengeluarkan iklan Barca tahun 2018 bersama dengan kapsyen: "Philippe Coutinho bersedia untuk beraksi di Camp Nou. Dapatkan seragam Barcelona musim 2017-18 dengan nama pemain itu terpampang di atasnya -- stail peribadi adalah percuma sehingga 6 Januari. "

Nike kemudian memadamkan maklumat tersebut dan masih tidak jelas sama ada ia adalah kesilapan pengeluar barangan sukan itu atau angkara penggodam dalam talian, namun Klopp tetap enggan ambil peduli.

"Saya pernah mendengarnya, saya mungkin orang yang paling tidak berminat mengenainya di dunia ini tetapi seseorang telah memberitahu saya dan saya terfikir, 'Wau, tajuk utama'," kata Klopp dalam sidang media.