Jurgen Klopp berkata Liverpool akan membantu Steven Gerrard sekiranya bekas kapten pasukan itu mengejar impian untuk bergelar jurulatih selepas mengumumkan persaraannya.

Gerrard mengesahkan akan menggantung but selepas tidak melanjutkan kontraknya bersama pasukan LA Galaxy.

Pemain berusia 36 tahun itu pernah menyatakan minat dalam bidang pengurusan meskipun dia menolak tawaran untuk mengemudi MK Dons dalam saingan Liga Satu dengan peranan sebagai kakitangan Jurgen Klopp dilihat mungkit langkah ideal buatnya untuk merealisasikan impiannya.

Bercakap kepada media menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Sunderland esok, Klopp mengelak untuk memanjangkan isu sama ada Gerrard akan tiba di pusat latihan Melwood tidak lama lagi.

"Suatu hari nanti, pasti ada sesuatu yang boleh dikhabarkan, saya yakin," katanya.

"Pintu sentiasa terbuka buatnya. Jika dia mahu dan jika dia mahu menceburi apa jua bidang, maka kami mahu membantunya.

"Hentilah untuk terlalu teruja berkenaan langkah Gerrard yang seterusnya. Dalam kehidupan, anda memerlukan ruang untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Suatu ketika dahulu, dia adalah pemain muda dan sekarang dia mentah dalam bidang lain. Saya bukanlah individu yang tepat untuk membincangkannya."