LIVERPOOL 1 LEICESTER CITY 1

Jurgen Klopp menegaskan pengadil, Martin Atkinson, sepatutnya menganugerahkan penalti kepada Liverpool selepas diikat Leicester City 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Harry Maguire menanduk masuk jaringan penyamaan dalam separuh masa pertama di Anfield untuk memadamkan gol pembukaan awal yang diledak Sadio Mane untuk Leicester menafikan kemenangan Liverpool yang boleh memberi kelebihan tujuh mata ke atasManchester City.

Liverpool menuntut sepakan penalti diberikan selepas Naby Keita terjatuh selepas menerima tekanan daripada Ricardo Pereira manakala Maguire mungkin bernasib baik terlepas kad merah di penghujung babak pertama dalam usahanya menyekat larian Mane.

Justeru, Klopp, yang dalam sidang media pra-perlawanan menjelaskan Mohamed Salah menjadi mangsa tohmahan mudah merebahkan badan berikutan mewakili kelab gergasi seperti Liverpool, enggan menyembunyikan kekecewaaannya.

"Saya tidak fikir anda memerlukan video bantuan pengadil (VAR) untuk insiden itu," kata Klopp ketika ditanya oleh BT Sport jika sistem semakan berkenaan boleh membantu Liverpool.

"Pengadil berada di kedudukan terbaik tetapi dia tidak mahu memberikannya (penalti).

"Dalam tempoh beberapa minggu terakhir ini, saya sering perlu menjawab sebab kami mendapat penalti, jelas sekali kami tidak memenanginya hari ini.

"Mudah-mudahan semua pihak akan berasa sangat gembira kerana kami tidak dihadiahkan penalti itu dan kami perlu teruskan perjuangan."

Klopp turut meluahkan kekecewaan terhadap kelibat Maguire yang kekal di padang di sebalik kekasarannya terhadap Mane, yang berpeluang cerah untuk merobek gol lawan dalam kejadian itu, memandangkan pemain England itu menyamakan kedudukan, enam minit kemudian.

"Saya tidak faham mengapa anda bertanya kepada saya, saya bukan pengadil," kata Klopp.

"Saya tidak pasti, saya akan mengatakan 100 peratus ia adalah peluang gol dan itu bermakna pengadil sepatutnya memberikan kad merah.

"Bukan sahaja Sadio sudah mengatasinya, malah saya sangat pasti Salah berada di kedudukan menantikan lorongannya, namun Martin Atkinson menganggap ia bukannya kad merah, dia menganggap ia kad kuning."

Bagaimanapun, pengurus Leicester, Claude Puel, tidak terkejut dengan pasukannya yang kerap mencetuskan masalah terhadap lawan dalam kelompok enam teratas musim ini sambil mengabaikan rungutan Klopp itu.

"Saya tidak tengok ulang tayangnya tetapi saya fikir ia adalah satu insiden, bukannya kad merah," kata Puel kepada BBC Sport.

"Saya fikir kami mendapat keputusan yang tepat daripada pengadil, Liverpool tidak boleh menjadikannya sebagai alasan."