SUNDERLAND 2 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp cuba mengendurkan kebimbangan penyokong Liverpool terhadap kecergasan Daniel Sturridge selepas penyerang itu meninggalkan padang 10 minit sebelum perlawanan tamat ketika seri 2-2 dengan Sunderland.

Sturridge dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa musim lalu dan baru sahaja pulih daripada kecederaan betis yang memaksanya terlepas aksi perlawanan selama sebulan.

Membuat penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama sejak pertengahan Oktober, penyerang England itu membuka jaringan buat Liverpool dengan tandukan pada minit ke-19 di Stadium of Light, sebelum Jermain Defoe menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti enam minit kemudian.

Satu lagi penalti daripada Defoe memberikan keputusan seri kepada Sunderland selepas Sadio Mane meletakkan pasukan pelawat di hadapan buat kali kedua, namun kebimbangan penyokong pasukan pelawat dapat dilihat apabila Sturridge terpaksa meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Klopp tidak menjangkakan penyerang itu akan berehat panjang.

"Dia mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali kanannya. Saya tidak berasakan ia merupakan kecederaan yang serius."

Klopp turut berkata keputusannya untuk menggantikan James Milner pada separuh masa sebagai langkah selamat selepas kapten sandaran itu mengalami kecederaan ringan di bahagin betis.

Jordan Henderson pula tidak akan sempat cergas untuk perlawanan Piala FA berdepan Burnley pada Sabtu.

Pengurus Liverpool itu meluahkan kekecewaannya kerana pasukan dihukum dengan dua sepakan penalti sambil mempertikaikan sepakan penalti yang kedua tidak seharusnya diberikan.

"Mungkin saya bukan seorang penerima kekalahan yang terbaik di dunia -- saya tidak mempunyai masalah dengannya tetapi dua sepakan penalti itu tidak seharusnya diberikan."