Jurgen Klopp percaya prestasi merudum Daniel Sturridge boleh menjadi "masa yang baik" untuk penyerang Liverpool itu.

Pemain kebangsaan England itu gagal menjaringkan gol dalam Liga Perdana Inggeris sejak April lalu, termasuk dalam tujuh perlawanan musim ini.

Klopp berasa Sturridge, 27, boleh belajar daripada tempoh yang sukar itu, menjelang aksi bertemu West Brom di Anfield, malam ini.

"Saya berasa ini adalah masa yang baik untuk Dan. Ia tidak mudah untuk dia," katanya kepada akhbar UK.

"Selalunya, bola sepak merupakan sesuatu yang mudah di dalam hidupnya kerana dia begitu mahir. Masa yang tepat dan gol yang mudah."

Sturridge masih belum bermain 90 minit dalam perlawanan liga musim ini, dengan Roberto Firmino mendapat peluang untuk beraksi di tengah.

Klopp berkata dia masih melihat bakat yang ada pada penyerang itu, juga sewaktu sesi latihan.

"Jika kami mempunyai latihan menjaringkan gol, Sturridge masih mampu untuk menjaringkan gol yang menakjubkan dan ia sukar untuk dipercayai," kata pengendali dari Jerman itu.

"Tetapi apabila melihat dia beraksi dalam perlawanan sebenar, ia tidak mudah untuknya. Ada beberapa situasi yang sepatutnya dia boleh menjaringkan gol, dan anda akan berfikir 'dia sepatutnya boleh menjaringkan gol'.

"Saya telah berada di sini selama setahun, dan saya telah melalui beberapa situasi: 'Bola, Sturridge, gol. Oh tidak'. Ada beberapa ketika anda berfikir dia perlu menjaringkan gol, dan dia gagal untuk menjaringkannya, tetapi ia tetap perlu diteruskan."