Philippe Coutinho menyanjung corak pengurusan Jurgen Klopp di Liverpool, dengan mendedahkan pengurus itu membenarkan anak buahnya melakukan apa yang mereka hajati.

Pemain perancang itu memberi kredit kepada Klopp selepas menerima Anugerah Samba Gold -- anugerah buat pemain terbaik Brazil yang berkelana di Eropah.

Pemilihan itu berdasarkan undian peminat dan wartawan sementara bekas pemenang, iaitu penggempur Barcelona, Neymar, di tempat kedua dan pemain tengah Real Madrid, Casemiro, di tangga ketiga.

Coutinho berterima kasih kepada Klopp sebaik menerima pengiktirafan tersebut.

"Kami bekerja keras sebagai sebuah pasukan dan sudah tentu, Liverpool memiliki ramai pemain hebat," katanya kepada laman rasmi kelab itu.

"Jurulatih menuntut kami bekerja keras.

"Semua pihak beraksi baik musim ini dan telah memenuhi permintaan jurulatih. Untuk itu, jurulatih membenarkan kami bebas melakukan apa yang kami mahukan di atas padang.

"Sudah pasti, setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing. Apabila kehilangan bola, kami harus mengawasi pemain lawan dan berada di posisi yang betul, iaitu bertahan.

"Tetapi dia membenarkan kami melakukan apa yang kami mahukan. Tiada sesiapa yang berasa tertekan berkenaan siapakah yang akan membuat keputusan dan siapa yang akan bertahan. Semua pemain bekerja bersama-sama sebagai sebuah kumpulan."

Berkenaan kemenangan anugerah itu, Coutinho menambah: "Ia sangat bermakna. Saya sangat teruja kerana tahun lalu, aksi saya menjadi tumpuan ramai.

"Ia tahun yang penting buat saya dan saya sangat gembira dengan kemenangan anugerah ini. Ia tahun yang bagus. Sebagai sebuah pasukan, kami bermain dengan cukup baik sekali dan berjaya mara ke dua perlawanan akhir, namun kami tewas.

"Ia detik yang sukar, namun sudah pasti ia membuat pasukan ini semakin mantap."