Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui tidak mungkin kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membuat penambahan pemain lagi bulan ini.

Philippe Coutinho meninggalkan Liverpool pada awal bulan ini demi merealisasikan impiannya menyertai Barcelona.

Sementara itu, Klopp memperkasakan bentengnya menerusi pembelian Virgil van Dijk, dan Liverpool terus dikaitkan dengan beberapa pemain lain.

Bagaimanapun, pengurus berbangsa Jerman itu berkata tidak mungkin kelab itu akan membuat tambahan bulan ini.

"Ini tidak mungkin," kata Klopp dalam sidang akhbar semalam.

"Sekiranya saya katakan 100 peratus tidak, ia akan membunuh semua khabar angin dan saya tidak mahu berbuat demikian.

"Ayuhlah, kita patut menikmatinya kerana pintu perpindahan tinggal lima hari sahaja lagi," katanya.

Liverpool, yang menduduki tangga keempat EPL akan akan menanti kunjungan West Brom dalam pusingan keempat Piala FA, awal pagi esok.

Klopp berkata kelab itu telah merancang untuk keseluruhan musim dan tidak mempunyai alasan untuk panik pada bulan ini.

"Saya tidak boleh mengabaikan keperluan kami, kami masih mempunyai banyak perlawanan lagi untuk dihadapi," katanya lagi.

"Apa yang saya tidak suka mengenai jendela perpindahan bulan ini, ia dianggap seperti musim ini sudah berakhir. Pemain yang jarang digunakan akan dipertikaikan masih berada dalam pasukan.

"Kami perlu membuat perancangan penuh selama setahun dan itulah yang kami lakukan."

Dalam masa sama, pengurus itu menegaskan Daniel Sturridge dan Danny Ings masih mempunyai peranan dalam baki musim ini.