Jurgen Klopp masih menanti keputusan sejauh manakah tahap kecederaan pergelangan kaki yang dideritai Philippe Coutinho, namun pengurus Liverpool itu memberi bayangan kebimbangan beliau terhadap berita buruk.

Pemain antarabangsa Brazil tersebut terpaksa meninggalkan Anfield dengan pendakap kaki selepas tercedera pada separuh masa pertama ketika menewaskan Sunderland 2-0.

Coutinho mungkin ditimpa masalah ligamen yang mungkin meminggirkannya dalam tempoh yang lama susulan pendedahan Klopp yang mendakwa masih menunggu ujian imbasan sekalipun beliau boleh menjangkakan maklumat yang bakal diterimanya.

"Kami perlu menunggu keputusan imbasan Coutinho, kemudian barulah kami tahu berapa lama dia akan berehat dan kami akur," kata Klopp dalam sidang media pra-perlawanan suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL) bertemu Leeds United.

"Kami mengharapkan Countinho tidak tersisih tapi itu tidak akan menjadi kenyataan.

"Kami masih perlu menunggu imbasan terakhir, namun kami dapat meramalkan apa yang akan berlaku."

Klopp menegaskan beliau tidak akan mengambil risiko terhadap kesebelasan pemainnya menjelang perlawanan menentang kelab Liga Kejuaraan, Leeds United.

"Kami perlukan kesebelasan pemain yang mampu mengekalkan intensiti perlawanan.

"Leeds berada dalam prestasi hebat. Kami perlu bekerja keras untuk perlawanan ini," ujarnya.

"Kami perlu mendengar dan menilai sama ada seseorang pemain itu sudah bersedia atau tidak. Kami tidak boleh mengambil risiko kerana rentak kami tidak berada di tahap beraksi dua kali dalam seminggu.

"Saya tidak tahu lagi percaturan perlawanan ini. Kami tidak mahu mengetepikan pemain yang tidak mahu direhatkan.

"Perancangan kami adalah meletakkan barisan utama yang mampu memenangi perlawanan. Tidak mustahil kami membuat rombakan, tapi kami perlu menamakan kesebelasan mantap."

Klopp berpendapat Roberto Firmino akan pulih daripada kecederaan betis untuk berdepan Leeds di Anfield sambil mengesahkan Simon Mignolet sebagai benteng terakhir.

Adam Lallana dan Daniel Sturridge hampir pasti tersisih akibat kecederaan pangkal paha dan betis.