Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak menyembunyikan rasa kesal selepas bentesan Marouane Fellaini terhadap Sadio Mane tidak diberikan penalti sehingga menyebabkan pasukannya tewas 1-2 di tangan Manchester United, semalam.

Dalam aksi di Old Trafford itu, Fellaini dilihat menjatuhkan Mane di dalam kotak penalti pada minit ke-82 tetapi pengadil, Craig Pawson, memberi isyarat meneruskan aksi.

Kekalahan The Kop di tempat lawan itu menyebabkan mereka kini terus berada di tangga ketiga liga, dibezakan dengan lima mata berbanding United yang berada di belakang pendahulu, Manchester City.

Bagaimanapun, Liverpool mungkin turun ke tangga keempat sekiranya Tottenham Hotspur menundukkan Bournemouth, malam ini.

“Jelas ia satu penalti dan situasi sebegitu memerlukan tindakan yang tepat. Kami tidak mendapatnya sehingga menyebabkan kami tewas 2-1,” kata Klopp kepada Sky Sports.

Marcus Rashford membuka tirai jaringan selepas Romelu Lukaku secara fizikal mengatasi cabaran Dejan Lovren hasil daripada satu hantaran jauh, yang membuatkan Klopp berasa pasukannya perlu lebih peka.

“Kami harus bertahan dengan lebih baik. Anda akan sering kehilangan bola apabila bersaing dengan Lukaku dan kami harus memperbaikinya.

“Dua jaringan United membuatkan perlawanan menjadi sukar. Kami meraih dua detik terbaik dalam babak pertama tetapi gagal memanfaatkannya dan walaupun bangkit dalam separuh masa kedua, ia sukar kerana bertemu United.

“Segalanya adalah tentang keputusan akhir dan kami tewas,” tambahnya.

“Anak buah Jose Mourinho menerapkan hantaran jauh dan kami gagal menyainginya. Jaringan pertama Rashford terhasil kerana kami tidak beraksi pada tahap terbaik.”