Bintang Liverpool, Mohamed Salah, memberi penghormatan kepada Jurgen Klopp dengan mendedahkan taktik pengurus berbangsa Jerman itu membantunya menghasilkan aksi memukau musim ini.

Salah menjaringkan 30 gol dalam musim pertamanya di Anfield setelah tiba dari AS Roma pada awal musim ini.

Pemain antarabangsa Mesir itu berkata Klopp berhak mendapat kredit atas persembahannya sepanjang 2017-18.

"Pengurus di sini membenarkan saya bermain lebih dekat dengan gol, melebihi mana-mana kelab lain atau jurulatih lain yang pernah melatih saya," kata Salah.

"Jadi, saya sentiasa berada di depan pintu gol bagi meningkatkan peluang gol. Semasa sesi latihan, pengurus sentiasa memberitahu saya agar sentiasa dekat dengan gawang."

Salah melakar 22 gol dalam 26 aksi Liga Perdana manakala tujuh gol lagi dalam sembilan perlawanan Liga Juara-Juara.

Di sebalik prestasi memuncak itu, pemain berusia 25 tahun itu masih menyimpan hasrat memperbaiki permainannya.

"Saya tidak mahu bercakap terlalu banyak kerana musim ini masih panjang dan saya tidak mahu memberi pandangan yang terlalu jauh tetapi ya, ia adalah sesuatu yang telah kami usahakan dalam sesi latihan," menurut Salah lagi.

"Anda tidak boleh menjaringkan 10 gol daripada 10 peluang terhidang, itu mustahil.

"Saya sedar saya terlepas banyak peluang musim ini, saya cuba memperbaiki diri.

"Saya sentiasa berusaha untuk melihat kelemahan sendiri, kemudian memperbaikinya bersama mereka dan sentiasa cuba menjaringkan gol dengan cara yang berbeza.

"Jurulatih membantu saya berbuat demikian dan saya juga bekerja keras secara bersendirian selepas sesi latihan," katanya lagi.