Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan 4-3 Liverpool ke atas Manchester City sebagai satu
sejarah sambil memuji kedua-dua pasukan yang mempamerkan aksi klasik Liga Perdana Inggeris
(EPL).


Dalam perlawanan pertama sejak perpindahan Philippe Coutinho ke Barcelona, Liverpool nyata
beraksi dalam kelas tersendiri apabila menamatkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah City dalam
saingan liga musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu ketinggalan 1-3 pada awal babak kedua, sebelum merapatkan
jurang menerusi jaringan Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan.

Kemenangan dramatik itu meletakkan Liverpool kini di tangga ketiga, namun berkongsi
mata dengan Manchester United dan Chelsea dan Klopp jelas amat gembira dengan apa yang
disaksikan di Anfield.

"Anda boleh menonton perlawanan ini sebagai pengurus atau sebagai peminat bola sepak dan
saya gembira untuk melakukannya. Satu perlawanan hebat dengan dua pasukan yang terbaik,"
kata Klopp kepada BBC Sport.

"Aksi sebegini akan anda bualkan dalam 20 tahun akan datang kerana kemungkinan City tidak lagi
tewas selepas ini.

"Apabila anda menggabungkan kualiti dan disiplin, anda akan menyaksikan perlawanan seperti hari
ini. Mungkin anda akan menjumpai seseorang yang bercakap tentang bertahan tanpa bolos tetapi
saya tidak mahu memikirkannya," tambahnya.

Klopp juga tidak mahu menyalahkan penjaga gol, Loris Karius, selepas pemain muda itu melepaskan
gol mudah untuk membolehkan Leroy Sane mengikat kedudukan sebelum tamat babak pertama.

"Ya, sudah tentu Karius berada pada posisi yang boleh menahan percubaan itu tetapi semua
orang akan sentiasa mencari kesilapan seseorang yang lain," tambahnya.