LIVERPOOL 2 BURNLEY 1

Jurgen Klopp mengalu-alukan kemenangan jelek pertama pasukannya musim ini ketika mereka bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Burnley 2-1 di Anfield, semalam.

Ashley Barnes meletakkan Burnley di depan selepas tujuh minit tapi The Reds bangkit mengikat kedudukan menerusi Georginio Wijnaldum pada waktu kecederaan separuh masa pertama.

Emre Can mengembalikan penguasaan Liverpool dengan menyumbat gol kedua sejurus selepas sejam permainan ketika pasukan tuan rumah itu meraih jaringan daripada dua percubaan tepat pertama mereka.

Kesudahannya, ia memadai untuk barisan Klopp merapatkan jurang kepada satu mata dengan pasukan di tangga ketiga, Manchester City, yang akan dihadapi mereka di Stadium Etihad minggu depan.

Pengurus Liverpool, Klopp, menyifatkan kemenangan itu memberikannya satu perasaan aneh, namun tetap gembira melihat pasukannya meraih kemenangan tipis itu.

“Keputusan ini amat besar maknanya kepada kami,” Klopp memberitahu Sky Sports. "Saya fikir ia adalah kemenangan jelek yang pertama buat kami. Biasanya, apabila kami tidak begitu bagus, kami akan tewas.

“Kesudahannya, saya sukakannya kerana ia adalah perlawanan seperti ini yang belum kami menangi sehingga sekarang. Kami tidak biasanya dengannya. Ia dirasakan aneh.

“Saya gembira dengan tiga mata yang diraih dan itu adalah perkara terpenting.”

Wijnaldum juga mengakui bantuan tuah dalam kemenangan itu tapi bertegas bahawa tahap prestasi tidak penting pada peringkat ini dalam musim.

“Ia sukar pada mulanya, terutama selepas mereka menjaringkan gol dalam beberapa minit awal,” katanya.

“Kami hanya cuba melawan dan melakukan apa saja untuk memenangi perlawanan. Kami cuba melakukannya dalam separuh masa pertama dan melakukan lebih baik dalam separuh masa kedua.

“Saya harus katakan yang kami sedikit bernasib baik kerana dalam perlawanan-perlawanan lalu yang kami bermain seperti ini, kami kalah.”