Jose Mourinho mendakwa kegoyahan keyakinan dalam kalangan pemain Manchester United menjadi punca pendekatan mereka dalam separuh masa kedua tidak menjadi ketika seri 1-1 dengan Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Selepas buntu ketika berdepan West Brom, United kelihatan masih tidak berupaya untuk mengatasi hari yang mengecewakan di Old Trafford, selepas Phil Jagielka meletakkan pelawat di hadapan pada babak pertama.

Tetapi, rembatan yang dilepaskan Luke Shaw -- yang sering dikritik pengurusnya -- pada masa kecederaan yang mendorong Ashley Williams untuk menampannya dengan tangan sehingga dibuang padang, dan Zlatan Ibrahimovic kemudian memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan untuk mengikat kedudukan.

Everton banyak memenangi perebutan di udara -- dengan kelibat bekas pemain kegemaran di Goodison Park, Marouane Fellaini, sering diketengahkan -- dan Mourinho berterus terang mengenai sebab-sebab perubahan gaya United dalam babak kedua.

"Jika anda membandingkan babak kedua dengan babak pertama, separuh masa kedua adalah lebih baik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dan adalah sukar untuk meningkatkan permainan kerana saya dapat berasakan sebahagian daripada pemain-pemain saya menghadapi sedikit masalah dengan tahap keyakinan.

"Apabila tahap keyakinan tidak tinggi, kualiti prestasi tidak mudah untuk ditingkatkan. Jadi, kami terpaksa melalui jalan pintas.

"Kami terpaksa melakukannya dari sudut penilaian kami.

"Kami mula bermain dengan cara di mana anda tidak berasa begitu banyak kekurangan keyakinan di kalangan pemain -- kami mula kerap melakukan hantaran tinggi."

Mourinho sedar dengan tahap keyakinan Marcus Rashford, yang kali terakhir menjaringkan gol dalam kempen liga adalah semasa kemenangan 4-1 ke atas Leicester City pada September lalu, tetapi dia memuji peranan pemain antarabangsa England itu.

"Mudah untuk menghidu situasi itu dalam pemain muda. Dia terdesak dan mencubanya," kata Mourinho.

"Apa yang akan dihadapinya dalam tahun keduanya bukanlah satu kejutan buat saya. Tetapi dia adalah pemain remaja yang luar biasa dan cukup profesional.

"Jadi, tidak ada masalah. Saya memberitahunya tadi, 'tidak ada masalah, teruskan bermain."

United kini mengharungi 20 perlawanan tanpa kalah dalam kempen EPL, tetapi berada di luar kedudukan pemburuan tiket Liga Juara-Juara -- sebahagian besarnya disebabkan oleh keputusan seri dalam 10 perlawanan.

"Kami mencapai banyak kemajuan dalam banyak perkara tetapi saya seorang jurulatih yang bersikap praktikal," kata Mourinho.

"Banyak kali saya dikritik kerana itu. Saya tidak mahu menjual falsafah seperti yang ramai suka lakukan.

"Saya tetap dengan angka dan mereka, angka tetap angka.

"20 perlawanan tanpa kalah adalah menakjubkan, saya akan mengulanginya serta-merta pada tahun depan.

"Dalam konteks EPL moden, ia benar-benar sukar untuk melakukannya tetapi kami perlu menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan.

"Berapa banyak gol yang disumbat oleh pemain di bahagian serangan? Tidak cukup.

"Ada pasukan yang mempunyai tiga peluang, tetapi dapat meledak dua gol, meraih tiga mata, selamat tinggal.

"Kami mempunyai lima, enam, tujuh peluang, tapi kami tidak menjaringkan gol dan kemudian berada dalam kesusahan."