BRIGHTON 1 LIVERPOOL 5

Jurgen Klopp gembira apabila berjaya mencipta kejutan di Brighton and Hove Albion dengan sistem baru yang dipamerkan dalam kesebelasan utama Liverpool.


Dengan ketiadaan Joel Matip, Klopp menurunkan Emre Can dan Georginio Wijnaldum dalam barisan pertahanan dan ia membuahkan hasil dengan Liverpool berjaya mencipta kemenangan 5-1 ke atas Brighton.

Jentera serangan yang dibarisi Roberto Firmino, Mohamed Salah dan Philippe Coutinho mempamerkan persembahan cemerlang dan Klopp percaya perubahan dalam formasi pasukan memainkan peranan penting.

"Kami tidak mengetahui pemain-pemain yang bakal diturunkan untuk perlawanan ini dan saya sangat berpuas hati dengan kejayaan ini," kata Klopp.

"Kesebelasan utama kami mengejutkan semua orang. Pemain-pemain segera menyesuaikan diri dan melaksanakan tugas mereka. Kami perlu menyesuaikan diri dengan sistem yang berbeza-beza."

Coutinho muncul sebagai perancang gol pembukaan The Reds selepas hantaran silangnya berjaya mencari Emre Can yang menanduk masuk pada minit ke-30.

Selang seminit kemudian, Liverpool menggandakan jaringan sekali lagi, dengan Coutinho muncul sebagai perancang dan kali ini berjaya mencari Firmino untuk melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol, Mathew Ryan.

Bersambung pada separuh masa kedua, Firmino menggandakan gol peribadinya sebelum Coutinho dan gol sendiri daripada Lewis Dunk melengkapkan kemenangan The Reds.

Gol sagu hati tuan rumah hadir menerusi jaringan Glenn Murray.