Pemain yang baru berpindah ke West Bromwich Albion, Jay Rodriguez, berharap perpindahannya itu akan membantu dalam usahanya merebut tempat dalam pasukan kebangsaan England.

Rodriguez meninggalkan Southampton untuk menandatangani kontrak empat tahun bernilai GBP12 juta (RM67 juta) dan dia nekad mahu tampil dalam kesebelasan utama sebanyak mungkin untuk mengikut jejak langkah rakan sepasukannya yang baru, Jake Livermore, menembusi skuad England.

Rodriguez yang pernah beraksi untuk Burnley merupakan pemain utama dalam dua musim terawalnya bersama Saints, menjaringkan 15 gol pada musim 2013-14, namun kecederaan lutut menyebabkannya sering tersisih.

Dia juga terpaksa menanggung akibat diketepikan daripada pasukan England dalam Piala Dunia 2014 selepas hanya tampil sekali ketika menentang Chile dalam aksi persahabatan pada November 2013.

“Pasukan ini dipenuhi oleh pemain-pemain yang bagus,” kata Rodriguez.

“Livermore berjaya kembali ke skuad England dan itu adalah sasaran utama saya selain daripada membantu West Brom dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL),” tambahnya.

Rodriguez juga tidak kisah jika diletakkan sebagai penyerang atau pemain sayap jika perkara itu menjanjikannya aksi bersama skuad utama.

"Saya mahu berada di atas padang dan membantu pasukan.

“Saya mahu menjaringkan gol dan sedar bahawa lebih aksi permainan akan membantu dalam mempertajamkan setiap sentuhan dan juga meningkatkan kualiti,” ujarnya.