Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui kesilapan Alisson tidak dapat dielakkan sambil menegaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan kesilapan penjaga gol itu dalam kemenangan di Leicester City, malam tadi.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjadi punca utama hajat mereka untuk merakamkan rekod bersih tanpa dibolosi dalam tiga perlawanan berturut-turut berkecai ekoran kesilapan sendiri pada separuh masa kedua dalam kemenangan 2-1 itu.

Menerima hantaran ke belakang Virgil van Dijk, pemain berusia 25 tahun itu cuba menggelecek dan mudah dipatahkan Kelechi Iheanacho yang membuat hantaran kepada Rachid Ghezzal untuk disudahkan ke pintu gol yang terbuka.

Kesilapan berkenaan membangkitkan nafsu The Foxes untuk memberikan saingan lebih sengit dan selepas memuji keyakinan penjaga gol barunya itu pada minggu lalu, Klopp berkata beliau tidak begitu gusar.

"Kami semua perlu belajar daripada kejadian itu, bukan sahaja (Alisson)," kata pengurus The Reds tersebut kepada Sky Sports.

"Minggu lalu terbukti ia akan berlaku jua pada suatu hari nanti, namun saya tidak fikir ia akan berlaku pada minggu berikutnya.

"Sebelum itu, kami boleh mengeluarkan bola sebanyak dua kali, sebaliknya kami menghantar bola kepadanya dan ya, dia juga boleh mengeluarkan bola tersebut. Dia tahu ia adalah kesilapannya. Sudah tentu dia sudah cukup dewasa untuk menanganinya.

"Saya memberitahunya bahawa cara terbaik untuk mengatasinya adalah menerusi kemenangan. Jadi, selepas ini kami perlu mengambil kira mengenainya, usah membiarkan semua bola dihantar kepada Alisson.

"Dia tenang selepas itu tatkala ramai yang cuba membuatnya sedikit gugup. Ia sesuatu yang normal, itulah caranya."

Liverpool, yang terlebih dahulu mendahului selesa dengan dua gol menerusi Sadio Mane dan Roberto Firmino, terus menguasai permainan untuk mengekalkan permulaan yang sempurna dan buat kali pertama merekodkan kemenangan bersih empat perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Sekiranya ada yang mengatakan kepada saya empat minggu lalu bahawa saya akan mengumpulkan 12 mata dalam empat perlawanan, saya akan mempercayainya tanpa mengambil kira jurang perbezaan gol," kata Klopp.

"Memiliki 12 mata dan mengetahui anda boleh memperbaiki prestasi adalah baik."