Kepa Arrizabalaga menafikan dia tertekan menanggung beban nilai GBP71 juta (RM374 juta) yang dibayar Chelsea untuk menjadikannya pengganti Thibaut Courtois.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu merupakan salah seorang pemain terawal dibawa masuk oleh Maurizio Sarri ke Stamford Bridge apabila berhijrah daripada Athletic Bilbao dan menggantikan Courtois yang menyertai Real Madrid.

The Blues kini menduduki tangga keempat liga dan Kepa tampil dalam setiap perlawanan dengan mencatat lapan aksi tanpa bolos.

Courtois membantu The Blues meraih dua trofi liga, satu Piala FA dan Piala Liga ketika berada di barat London dan Sarri sendiri menegaskan Kepa masih belum menyamai tahap pemain Belgium itu.

Namun, apabila ditanya mengenai tugasnya bersama Chelsea, Kepa memberitahu Sky Sports: "Saya tidak melihatnya sebagai satu beban tetapi ia adalah satu proses dalam jendela perpindahan.

"Courtois pergi dan saya tiba di sini. Saya tidak fokus kepada situasi itu.

"Saya hanya fokus kepada diri sendiri kerana ia adalah peluang terbaik. Saya mahu mengambil kesempatan ini dan menikmati bola sepak tanpa menoleh ke belakang.

"Saya gembira di sini. Cabaran di masa akan datang membuatkan saya tidak sabar untuk terus meningkat dan ia membuatkan saya teruja."

Yuran perpindahan Kepa ke England menjadikannya penjaga gol termahal dunia, mengatasi Alisson ketika berhijrah ke Liverpool, serta memadamkan nilai tertinggi kelab sewaktu The Blues membawa masuk Alvaro Morata.

"Jelas sekali RM374 juta adalah satu jumlah yang banyak," tambah Kepa.

"Saya sedar tentang perkara itu tetapi melihat kepada keadaan pasaran terkini, ia satu perkara yang normal, jadi saya tidak perlu fokus kepada nilai tersebut.

"Saya perlu memberi tumpuan kepada permainan bola sepak dan apa yang berlaku di dalam padang. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri dan mengabaikan perkara lain.

"Saya di sini untuk mewakili Chelsea. Saya memilih untuk meninggalkan kampung halanan di Athletic Bilbao dan ia adalah detik penting dalam karier saya."