WEST HAM 1 SUNDERLAND 0

Pengurus West Ham, Slaven Bilic, berkata skuad kendaliannya berhak meraih kemenangan pada saat-saat akhir ketika menewaskan Sunderland 1-0 di Stadium London.


Winston Reid meledak gol hasil sepakan sudut Dimitri Payet pada penghujung perlawanan untuk memastikan kemenangan buat pasukan tuan rumah.

West Ham gagal melancarkan gerakan berbahaya selepas percubaan Payet terkena palang pada minit ke-27 dan penjaga gol, Adrian, menampan keluar usaha Wahbi Khazri pada awal babak kedua perlawanan.

Bilic tetap berasakan persembahan pasukan tuan rumah telah memastikan mereka meraih tiga mata penuh.

"Ia penamat yang penuh dramatik," kata Bilic. "Ia permainan bola sepak yang sangat hebat. Ini permulaan yang paling baik kami lakukan sepanjang musim ini. Kami telah melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Sunderland.

"Mereka mempertingkatkan mutu permainan pada babak kedua. Kami memberikan tekanan dan Sunderland berjaya melancarkan serangan balas tetapi penjaga gol kami berada di tahap terbaik.

"Secara keseluruhan, kami berhak menang, kami pasukan yang lebih baik di atas padang," katanya.

Pengendali Sunderland, David Moyes, berkata pemain gantian West Ham, Jonathan Calleri, berada di kedudukan ofsaid dan mengganggu permainan ketika Reid melepaskan rembatan menembusi gawang gol Sunderland tetapi Bilic mempunyai pandangan yang berbeza.

"Tiada ofsaid, ia merupakan satu keputusan yang sukar buat pengadil. Jika kamu melihat dengan teliti, Calleri berada di kedudukan yang tidak ofsaid," hujahya.

Bilic menasihatkan anak buahnya untuk mengekalkan persembahan ini bagi memastikan mereka dapat keluar daripada zon penyingkiran.

"Perjalanan masih panjang tetapi kami harus bertindak awal, kami sudah memiliki dua kemenangan dan dua kali tidak dibolosi pasukan lawan. Kami mahu meneruskan momentum ini."

West Ham bakal menerima kunjungan Chelsea dalam aksi Piala EFL sebelum kembali ke kancah saingan liga berdepan Everton di Goodison Park.