Walter Mazzarri "sentiasa percaya" bahawa Watford akan mendapat gol kemenangan di sebalik perlu menanti sehingga lewat permainan untuk menewaskan Hull City 1-0 di Vicarage Road pada Sabtu.

Gol sendiri Michael Dawson pada minit ke-82 menghadiahkan The Hornets tiga mata yang mengangkat mereka ke tangga ketujuh dalam Liga Perdana.

Skuad kendalian Mazzarri memiliki 14 mata daripada tujuh perlawanan terakhir mereka menjelang kunjungan sukar ke Anfield untuk berdepan Liverpool hujung minggu depan.

Pengurus berbangsa Itali itu berasakan keputusan itu adalah habuan kepada bagaimana pasukannya memulakan permainan, dengan dua kali percubaan mereka menyinggahi tiang dan palang gol dalam 10 minit pembukaan.

“Saya puas hati dengan keputusan ini, terutama dengan bagaimana kami bermain dalam 30 minit pertama. Kami bermula dengan sangat pantas dan menyinggahi palang dan tiang,” kata Mazzarri kepada laman web rasmi Watford.

"Kami bekerja keras pada permulaan. Ia perkara biasa apabila anda menghabiskan banyak tenaga dan tidak menjaringkan gol, permainan akan menjadi bertambah sukar. Sukar untuk kami mengharungi 90 minit dengan cara kami bermain dalam lima minit pertama.”

Watford kini tidak bolos dalam tiga perlawanan selepas dibolosi dalam setiap satu daripada tujuh perlawanan pertama mereka.

“Pasukan ini sedang meningkat. Kami lebih terjamin ketika bertahan dan kami tidak membenarkan pasukan lain membolosi kami,” kata Mazzarri.

“Saya sentiasa percaya kemenangan akan menyusul jua.”