Kemenangan ke atas Palace beri kelegaan besar -- Klopp

By Staff Writer 20 January 2019 1240
Kemenangan ke atas Palace beri kelegaan besar -- Klopp
LIVERPOOL 4 CRYSTAL PALACE 3

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengakui melihat pasukannya menewaskan Crystal Palace 4-3 di Anfield malam tadi memberikan kelegaan besar buatnya.


Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan satu gol dalam babak pertama ketika Palace yang dibimbing Roy Hodgson memberikan gambaran mereka akan melakukan satu lagi kejutan selepas menundukkan Manchester City bulan lalu.

Keadaan semakin genting dalam babak kedua apabila Mohamed Salah dan Roberto Firmino meletakkan tuan rumah di depan, namun James Tomskin menanduk masuk jaringan penyamaan pelawat tidak lama selepas itu.

Salah kemudian menjaringkan golnya yang ke-50 dalam Liga Perdana Inggeris selepas memanfaatkan kesalahan penjaga gol lawan, Julien Speroni.

Situasi kian menduga buat skuad kendalian Klopp itu selepas James Milner dilayangkan kad merah, namun Sadio Mane memberikan kelegaan buat pengurusnya itu sebaik menjaringkan gol keempat Liverpool pada masa kecederaan sebelum Max Mayer menambah satu lagi gol buat pelawat yang tidak mampu lagi mengejar.

Kemenangan itu memastikan The Reds berkelebihan tujuh mata di depan pasukan tangga kedua, City, yang akan bertemu Huddersfield Town malam ini.

"Ia kelegaan yang besar," kata Klopp kepada BBC Sport.

"Kami sedar perlawanan itu akan menyukarkan kami.

"Crystal Palace mempunyai sejarah beraksi baik menentang Liverpool dan ia dapat dilihat dalam separuh masa pertama.

"Mereka amat baik sewaktu melancarkan serangan balas dan situasi bola mati.

"Wilfried Zaha sememangnya penyerang bertaraf dunia dan apabila dia mendapat peluang satu lawan satu, kami ketinggalan.

"Kami perlu kekal positif, ketinggalan satu gol bukan penamat segalanya.

"Kami hanya perlu menang dan kami lakukan apa yang sepatutnya dilakukan dalam babak kedua.

"Keputusan ini amat besar maknanya.

"Kami sudah mengumpulkan 60 mata dan ia sangat gila.

"Ia jumlah yang penting dan saya amat berbangga dengan pasukan ini.

"Ada perkara yang berlaku di luar kawalan kami.

"Kami kekurangan pemain, namun mempunyai masa untuk memulihkan setiap pemain," katanya.

Kejayaan Salah meraih 50 gol dalam 72 penampilan Liga Perdana mencipta sejarah baru dengan hanya tiga pemain lain mampu meraih catatan itu dalam tempoh yang lebih singkat.

"Diaa pemain bertaraf dunia, sememangnya bertaraf dunia," kata Klopp memuji bintang Mesirnya itu.

About Author

Staff Writer

Comment