Kemenangan ke atas City satu permulaan -- Pochettino

By Staff Writer 3 October 2016
Kemenangan ke atas City satu permulaan -- Pochettino

Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menuntut anak buahnya untuk meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan pasukan pendahulu liga, Manchester City, 2-0 di White Hart Lane pada Ahad.

City bertandang ke Spurs dengan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Pep Guardiola, namun The Lily Whites -- yang turut mengekalkan rekod tanpa kalah -- muncul pasukan terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Gol sendiri jaringan Aleksandar Kolarov dan Delle Alli mengesahkan tiga mata buat Spurs dan mereka kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pasukan itu.

Bagaimanapun, Pochettino menggesa pemain-pemainnya untuk mengulangi aksi sama sepanjang musim ini.

"Kemenangan yang sangat bermakna, terutama berdepan lawan sehebat City. Saya sangat gembira. Pemain mengikut taktikal yang telah diterapkan kerana lawan kami bukan mudah," katanya.

"Kami perlu meneruskan rentak sama sekembalinya daripada aksi antarabangsa kerana kami berdepan lawan sukar selepas ini.

"Kepercayaan dan kebergantungan yang wujud antara pemain perlu dikekalkan sehingga ke hujung musim."

Spurs berpeluang menggandakan jaringan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-65, malangnya sepakan Lamela mudah diselamatkan penjaga gol, Claudio Bravo.

Sebelum itu, Lamela dan penyerang sensasi, Heung Min Son, terlibat dalam perebutan untuk mengambil penalti tersebut susulan ketiadaan Harry Kane.

Pochettino, bagaimanapun, tidak gusar dengan situasi itu.

"Semua pasukan menempuh senario ini. Ada masa bola itu masuk dan ada masanya tidak. Kami sudah menganalisis perkara itu, jadi ia bukan isu besar."

About Author

Staff Writer

Comment