Pengendali Burnley, Sean Dyche, percaya kemenangan 3-2 ke atas Chelsea dalam saingan Liga Perdana semalam berjaya menutup mulut pengkritik.

Dalam satu aksi dramatik di Stamford Bridge, Sam Vokes menghasilkan dua gol dengan Stephen Ward turut melakar nama selaku penjaring untuk membantu Burnley mendahului perlawanan 3-0 menuju masa rehat selepas Gary Cahill dilayangkan kad merah.

Mereka, bagaimanapun, terpaksa bertahan apabila Chelsea kembali merapatkan jurang menerusi Alvaro Morata dan David Luiz selepas Cesc Fabregas turut dibuang padang ekoran kad kuning kedua.

Dyche percaya kemenangan tersebut bererti pemainnya kini ada ruang untuk bernafas selepas dijangka bakal bergelut dalam aksi pembukaan selepas kehilangan dua pemain tonggak, Michael Keane dan Andre Gray, di samping masih gagal mencari pengganti.

"Sedikti-sebanyak ia menutup mulut pengkritik," Dyche bercakap kepada Sky Sports.

"Kemenangan pertama amat penting, terutama apabila kami gagal melakar kemenangan musim lalu sehinggalah bulan April.

"Keputusan ini membuka ruang buat pemain untuk meningkatkan permainan mereka."

Mengakui layangan kad merah Cahill memainkan peranan besar, Dyche berkata: "Sudah tentu. Tetapi saya tetap berpuas hati dengan aksi pada babak pertama kerana meskipun mereka kekurangan pemain, gol dihasilkan bukan mudah.

"Ini adalah kutipan tiga mata yang menakjubkan dan saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pengadil yang melaksanakan tugas dengan baik."