Kevin De Bruyne percaya kemenangan Manchester City ke atas Chelsea pada awal pagi esok mampu menyalakan semula peluang mereka memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan mengejut Chelsea kepada Crystal Palace menyaksikan kelebihan mereka di puncak kini berkurangan kepada tujuh mata ke atas Tottenham Hotspur, dan andai City merakamkan kejayaan di Stamford Bridge, ia akan menambah tekanan buat skuad bimbingan Antionio Conte itu.

De Bruyne, yang bergelut untuk mencipta impak di Chelsea sebelum dilepaskan ke Wolfsburg, mengakui Chelsea masih lagi pasukan pilihan, namun menegaskan sudah tiba masanya buat City untuk bangkit dan mengurangkan jurang 11 mata dengan kelab London berkenaan.

"Mereka masih mendahului dengan jurang besar tapi jelas sekali mereka mahu menang ke atas kami kerana andai mereka kalah dan Tottenham pula menang, mungkin mereka akan berdepan sedikit tekanan yang belum pernah mereka hadapi musim ini sehingga sekarang," ujar De Bruyne.

"Mereka tidak mahu tekanan yang tidak pernah dihadapi sepanjang musim. Saya tidak fikir mereka akan goyah (selepas kekalahan kepada Palace). Mereka adalah profesional dan tahu bagaimana untuk menghadapi kekalahan.

"Walaupun amat sukar (untuk menghambat Chelsea), tapi secara matematik, ia masih boleh. Selagi kami tidak menyerah, ia masih berkemungkinan. Kami hanya perlu cuba untuk memenangi permainan dan pada akhirnya, kami akan melihat apa yang berlaku.

"Ia tidak bermakna kami akan meraih gelaran tetapi jika Chelsea membuat kesilapan dan kami boleh melakukan sesuatu selepas itu, kita akan lihat."

De Bruyne percaya prestasi City akan terus berkembang berdasarkan kemajuan mereka di bawah asuhan Pep Guardiola biarpun penyingkiran mengejutkan mereka oleh Monaco dalam Liga Juara-Juara.

"Kami membuat pendekatan yang sangat berbeza berbanding tahun lepas," kata pemain Belgium itu.

"Kami bermain dengan lebih menarik, kami mungkin sedikit menderita dan membuat beberapa kesilapan, namun kami bermain lebih baik.

"Tugas yang kami tampilkan adalah benar-benar bagus dan kami mengumpul lebih banyak mata daripada tahun lepas.

"Jadi, secara umumnya kami melakukan tugas dengan lebih baik. Saya berasakan pasukan ini mempunyai semangat kerjasama yang sangat baik dan cara kami berkembang sebagai sebuah pasukan sedang menuju ke arah yang betul.

"Tetapi kami telah membuat beberapa kesilapan, melalui kepahitan untuk berkembang dan itu memerangkap kami. Namun, jika anda melihat rentak permainan, kami sepatutnya menang.

"Maka, kami akan lebih dekat dengan Chelsea. Tetapi, saya tidak sepatutnya bercakap mengenai perkara-perkara yang tidak berlaku. Perkataan 'kalau' tidak wujud dalam kehidupan.

"Pasukan ini boleh berkembang lebih baik lagi. Terdapat ramai pemain, terutama pemain muda yang baru tiba.

"Mereka telah mencapai apa yang kebanyakan pemain tidak dapat lakukan. Mereka masih muda, dalam lingkungan 20 dan 21 tahun, apa yang mereka lakukan ketika ini sukar dipercayai.

"Bayangkan jika mereka terus bekerja keras dan mencapai apa yang mereka boleh lakukan dalam tempoh tiga atau empat tahun.

"Anda tidak boleh bayangkannya. Semua orang berfikir tentang sekarang dan bagi pemain muda, ia bukan mudah untuk mengekalkannya berselang setiap tiga hari."