Pengendali West Ham, Slaven Bilic, menyifatkan kekalahan 5-1 kepada Arsenal di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu sebagai memalukan dan membidas pemainnya kerana gagal mempamerkan keazaman tinggi.

West Ham kehilangan khidmat James Collins seawal minit ketujuh dan menyaksikan rekod lima perlawanan tanpa kemenangan diteruskan susulan jaringan hatrik Alexis Sanchez dalam tempoh 14 minit.

The Hammers kini hanya tiga mata dipisahkan daripada zon penyingkiran dan Bilic meluahkan rasa kecewanya terhadap kegagalan anak buahnya menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Saya bukan mencari alasan. Ya, kami mengalami kecederaan dan membuat kesilapan tetapi permainan kami sangat mengecewakan," Bilic memberitahu BT Sport.

"Saya sangat kecewa. Saya berasa malu dan ini adalah tanggungjawab saya.

"Saya tidak gembira dengan aksi pemain. Saya tidak mahu berasa tekanan itu tetapi tekanan bukan satu masalah. Banyak perkara perlu diubah. Kualiti yang kami miliki tidak cukup bagus.

"Amat memalukan. Saya meminta maaf kepada penyokong kelab ini.

"Tetapi saya perlu jujur dengan mengatakan bahawa pemain tidak mempamerkan intensiti tinggi kerana daripada intensiti timbulnya kualiti. Musim lalu juga kami mengalami masalah sama, termasuk ketika sesi latihan."

Satu perkara positif yang hadir daripada kem West Ham adalah kepulangan Andy Carroll daripada kecederaan lutut sejak Ogos lalu.

Bekas penyerang Liverpool itu turut sempat meledak gol sagu hati hasil sepakan percuma Dimitri Payet yang terkena palang sebelum singgah di kepala Carroll.