Thibaut Courtois berkata rekod kemenangan 12 perlawanan berturut-turut Chelsea telah didorong oleh dua kekalahan berturut-turut pada September lalu.

Skuad bimbingan Antonio Conte menewaskan Bournemouth 3-0 pada Isnin untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka, dengan Courtois berkata prestasi ini berpunca daripada kekalahan berturut-turut kepada Liverpool dan Arsenal.

"Kami mengetahui kami tidak membawa mentaliti yang betul ketika tewas kepada Liverpool dan Arsenal," jelas penjaga gol kebangsaan Belgium itu.

"Mereka merupakan pasukan yang kuat dan kami gagal bersaing dengan intensiti yang dipamerkan oleh Arsenal dan Liverpool.

"Sejak perlawanan itu, kami telah berbincang bersama pasukan dan mempercayai pendekatan yang diterapkan oleh pengurus kami dan ia telah membuahkan hasil.

"Kami berada di persada liga dan memiliki kelebihan mata, kami akan cuba untuk meneruskan prestasi ini dan cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan akan datang."