Paul Pogba percaya Manchester United layak menerima kekalahan 3-2 di tangan Brighton and Hove Albion awal pagi tadi dan memberi amaran bahawa pasukannya perlu belajar daripada persembahan buruk yang dipamerkan.

Jaringan dalam babak pertama oleh Glenn Murray, Shane Duffy dan Pascal Gross memberikan pasukan bimbingan Chris Hughton itu kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris ke atas United yang meraih dua gol menerusi Romelu Lukaku dan sepakan penalti Pogba.

Kekalahan itu hadir beberapa jam selepas juara bertahan, Manchester City, membelasah Huddersfield Town 6-1 tatkala skuad kendalian Jose Mourinho itu dikejutkan dengan kekalahan walaupun baru memasuki dua perlawanan musim baru.

Pogba mengakui dia tidak boleh membiarkan pasukannya mengulangi persembahan dan disiplin yang sama menjelang aksi liga seterusnya, melayan kunjungan Tottenham Hotspur di Old Trafford minggu depan.

"Saya kecewa dengan persembahan diri sendiri dan seluruh pasukan. Kami tidak layak menang," katanya.

"Saya sentiasa mencuba dan sedar banyak kehilangan bola. Ia tidak sepatutnya berlaku buat seorang pemain tengah tetapi saya terus berusaha kerana itu adalah personaliti saya.

"Apabila ia bukan hari bertuah anda, ia sentiasa akan gagal tetapi saya tetap cuba membantu pasukan selagi boleh. Kami menjaringkan gol tetapi terlalu lewat untuk bangkit dan ia menjadi pengajaran berguna buat kami. Kesilapan sama tidak boleh diulangi.

"Lawan mempersiapkan diri dengan baik, mungkin lebih bersedia daripada kami. Mungkin kami tidak cukup berdisiplin untuk menembusi dan menghukum mereka walaupun wujud peluang. Ia menjadi pengajaran yang perlu sentiasa diingati dan memastikan kami bermain dengan lebih baik dalam aksi seterusnya.

"Saya jujur. Jika kami menang, bermain dengan baik, saya akan bercakap tentangnya. Hari ini, kebenarannya adalah kami tidak beraksi dengan bagus. Anda boleh lihat hasilnya, kami tewas.

"Keputusan ini adalah sesuatu yang tepat untuk mereka tetapi salah buat kami."

Pogba dinamakan selaku pemain terbaik perlawanan ketika menewaskan Leicester City di Old Trafford minggu lalu dan dia mengakui persembahan United jauh berbeza sewaktu berdepan Brighton.

"Beraksi di laman sendiri dan di tempat lawan adalah sesuatu yang berbeza, termasuk percaturan.

"Anda perlu sentiasa fokus dan bermain lebih baik berbanding sebelumnya. Disiplin perlu dikekalkan dan saya rasa kami kehilangannya."

Apabila ditanya mengenai perancangan Mourinho sewaktu rehat, di mana United ketinggalan 3-1, Pogba menolak untuk memberikan sebarang kenyataan.

"Saya rasa anda perlu bertanya kepadanya. Saya tidak suka untuk bercakap bagi pihak orang lain," tambahnya.