Gabriel Jesus berkata dia masih lagi dalam proses menyesuaikan diri di Manchester City, namun mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya selepas berjaya melakar kemenangan 4-0 ke atas West Ham, malam tadi.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain City pertama yang berjaya menyumbang satu gol serta bantuan jaringan dalam penampilan pertama dalam kesebelasan utama pasukan.

Jesus membantu Kevin De Bruyne meledak gol pembukaan sebelum menyumbat gol ketiga perlawanan dengan David Silva dan Yaya Toure turut mencatat nama selaku penjaring.

Kemenangan itu meletakkan City kini berkongsi mata dengan Liverpool di tangga keempat liga.

Ia merupakan kemenangan kedua City di Stadium London musim ini selepas merekodkan kemenangan 5-0 dalam Piala FA pada Januari.

Jesus, yang berhijrah dari Palmeiras bulan lalu, teruja kerana berjaya mempamerkan aksi baik di Stadium Etihad.

"Saya sangat gembira," dia memberitahu BT Sport.

"Saya sangat teruja dengan gol pertama ini -- saya juga mahu membantu pasukan dalam apa jua cara termampu.

"Proses penyesuaian sedang berlangsung dengan baik, rakan sepasukan dan kelab sedang membantu saya, jadi saya hanya perlu fokus terhadap aksi di atas padang."