Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyifatkan permulaan cemerlang Manchester United dan Manchester City dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini telah membuatkan pasukannya lebih berhati-hati, namun masih belum panik.

Skuad kendalian Klopp kini mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan dalam kesemua pertandingan dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga yang berkongsi mata, City dan United.

Pengendali dari Jerman itu percaya bahawa kecemerlangan dua kelab Manchester itu telah menyukarkan laluan The Kop.

"Di mana sahaja, harapan dan sasaran adalah sama, tetapi di sini ia lebih tinggi.

"Apabila dua kelab Manchester menampilkan prestasi hebat, ia menjadikan persaingan lebih sukar, saya harus akuinya.

"Apa yang saya boleh lakukan adalah meredakan keadaan serta memastikan setiap perlawanan berjalan dengan bagus," kata Klopp.

Liverpol kini sedang menghadapi masalah biasa seperti musim-musim sebelum ini, selepas gawang mereka dibolosi sembilan kali, meletakkan mereka menjadi pasukan ketiga paling banyak bolos selepas Everton dan West Ham United.

Menjelang pertemuan dengan Leicester City esok, Klopp tetap tenang untuk menentang pasukan yang menyingkirkan mereka dalam saingan Piala Liga itu.

"Jika anda rasa kami panik, apa yang anda fikirkan sebenarnya? Kami memiliki lapan mata dan inilah bola sepak.

"Kami jelas pasukan yang lebih baik dalam empat perlawanan sebelum ini, namun nasib tidak menyebelahi kami.

"Saya tidak panik. Orang ramai memperkatakannya seperti kami tidak mempunyai sebarang mata dan kami adalah pasukan yang paling teruk buat masa sekarang. Ya, kami menghadapi masalah dan sebab itu kami hanya memiliki lapan mata dan bukan 15."