Patrick Berger menyifatkan Mohamed Salah adalah jenis pemain yang diperlukan Liverpool untuk mereka selangkah lebih hampir bagi menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain sayap itu, yang berhijrah dari Roma dengan kontrak jangka panjang bersama The Reds, kembali ke England dengan nilai perpindahan sebanyak EURO42 juta (RM200 juta) selepas gagal menyerlah di Chelsea.

Dia telah membuktikan kualitinya di Itali dengan menjaringkan 34 gol dalam 83 penampilan untuk Roma dan bekas pemain Liverpool, Berger, percaya pengendali pasukan, Jurgen Klopp, telah menandatangani seorang pemain yang berbakat.

"Dia adalah seorang pemain yang berkualiti secara teknikal, pantas dan mampu mencipta dan menjaringkan gol. Dia telah membuktikan kemahirannya pada musim lepas di Itali," kata Berger.

"Dia sudah mengenali saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), jadi dia sudah mengetahui apa yang perlu dijangka. Saya berasakan dia mampu memberikan impak yang besar kepada Liverpool."

Permulaan yang terus pada 2017 menyaksikan The Reds hanya mengutip tiga mata daripada lima perlawanan, dengan Berger menegaskan mereka perlu mendapatkan lebih ramai pemain berkualiti jika mahu bersaing untuk menjuarai gelaran EPL.

"Saya berasakan mereka semakin hampir. Klopp memiliki keinginan yang tinggi untuk bergelar juara. Pemain-pemain serta penyokong meletakkan kepercayaan kepadanya.

"Penghujung tahun lalu, semua orang telah mengatakan bahawa Liverpool bakal bergelar juara, mereka mengharungi saat sukar dan sekadar bersaing mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya percaya jika Klopp mendapatkan beberapa pemain lagi, mereka mampu melakukannya musim ini."