Benjamin Mendy yakin kecederaan tidak akan lagi membelenggu dirinya selepas kembali beraksi bersama Manchester City ketika merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Brighton and Hove Albion dalam aksi separuh akhir Piala FA, semalam.

Pertahanan berusia 24 tahun itu sekadar melakukan sembilan penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tetapi menyempurnakan 79 minit di Wembley ketika membantu skuad kendalian Pep Guardiola itu yang masih di landasan untuk meraih empat kejuaraan.

Pemain kebangsaan Perancis itu memberikan penilaian yang positif mengenai tahap kecergasannya selepas perlawanan, dengan berkata dia sudah bersedia untuk membantu City mencapai sasaran.

"Kecederaan saya tidak lagi menjadi satu masalah, saya mahu melupakannya dan memberikan keutamaan kepada masa depan bersama City.

"Saya mahu cergas dan membantu pasukan.

"Saya telah terlepas banyak perlawanan dan kami memerlukan keyakinan dan saya percaya kami mampu membolot semua kejuaraan musim ini," katanya.

City akan berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur bagi aksi suku akhir pertama saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Rabu ini, sebelum meneruskan aksi EPL berdepan Crystal Palace, Ahad ini.

Mendy kagum dengan kualiti pasukan ketika meraih kemenangan ke atas Brighton dan memuji hubungan erat antara rakan sepasukannya.

"Segalanya berjalan lancar. Semua pemain telah berusaha di setiap posisi.

"Danilo mengambil tempat Kyle Walker selepas John Stones bertindak sebagai pertahanan kiri. Kami memerlukan kesemua pemain untuk bermain di banyak posisi.

"Kami sangat gembira dengan cabaran untuk memenangi sebanyak gelaran yang mungkin musim ini. Kami akan melakukannya demi penyokong City."