Kecederaan Mane rencatkan kemenangan bergaya Liverpool

By Staff Writer 2 April 2017 10323
Kecederaan Mane rencatkan kemenangan bergaya Liverpool
LIVERPOOL 3 EVERTON 1

Liverpool bakal kehilangan kelibat tonggak utama di jentera serangan selepas Sadio Mane mengalami kecederaan ketika Liverpool menang 3-1 ke atas Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.


Mane meledak gol pembukaan dalam aksi 'derby' Merseyside di Anfield, namun terpaksa meninggalkan padang dalam separuh masa kedua selepas menerima asakan daripada Leighton Baines.

Matthew Pennington menyamakan kedudukan 20 minit kemudian sebelum Coutinho kembali meletakkan Liverpool di depan berselang tiga minit.

Pemain yang menggantikan Mane, Divock Origi, menyempurnakan kemenangan Liverpool ke atas Everton pada minit ke-60.

Penyerang Senegal itu, yang merupakan penjaring terbanyak The Reds musim ini dengan 13 gol, mengikut jejak langkah Adam Lallana yang juga diketepikan kerana mengalami kecederaan paha.

Ketiadaan Mane merupakan satu kehilangan besar buat skuad bimbingan Jurgen Klopp, dengan The Reds gagal mempamerkan aksi konsisten ketika penyerang itu beraksi dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Januari lalu.

"Kami telah bermain dengan baik pada hari ini," kata Klopp. 

"Segala-galanya hampir sempurna.

"Kami memenangi perlawanan, prestasi yang cemerlang dipamerkan, tetapi kami kehilangan khidmat Mane. Ketika saya melihatnya di dalam bilik persalinan, dia tidak akan dapat beraksi pada Rabu.

"Kami akan terus memantau keadaannya dan berharap ia tidak terlalu serius."

About Author

Staff Writer

Comment