Pertahanan tengah Manchester United, Eric Bailly, mendedahkan dia bakal terlepas aksi selama dua bulan selepas mengalami kecederaan ligamen lutut ketika tewas 4-0 kepada Chelsea pada Ahad.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu adalah antara pemain yang menyerlah buat United yang terpaksa mengharungi permulaan musim yang mengecewakan.

Pertembungan dengan Eden Hazard dalam separuh masa kedua memaksa Bailly dikeluarkan padang dan disahkan bakal berehat panjang.

Bagaimanapun, Bailly berkemungkinan besar akan beraksi pada Januari bersama Ivory Coast untuk mempertahankan gelaran Piala Negara-Negara Afrika sebelum menyertai United bulan berikutnya.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mesej yang telah saya terima sejak mengalami kecederaan ini," kata Bailly di laman sosial rasmi Facebook.

"Saya berharap untuk kembali beraksi bersama United dan The Elephants dengan kadar segera yang mungkin."