Harry Kane akan kembali beraksi sebelum penghujung musim ini selepas Tottenham mengesahkan kecederaan penyerang itu tidak seteruk yang dijangka.

Pemain kebangsaan England itu hanya bertahan selama lapan minit ketika Tottenham meraih kemenangan 6-0 ke atas Millwall di White Hart Lane.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino, pada awalnya bimbang dengan kecederaan yang hampir sama dialami oleh Kane yang memaksanya terlepas 10 perlawanan pada September dan Oktober lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Spurs: "Kami mengesahkan Harry Kane mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kanannya ketika berdepan Millwall dalam saingan Piala FA.
"Ia adalah kecederaan yang sama menimpa penyerang itu pada awal musim, bagaimanapun ia tidak begitu serius seperti yang dijangka.

"Kane akan terus menjalani penilaian di bawah pemerhatian pegawai perubatan serta menjalani proses pemulihan di pusat latihan kami."