Harry Kane menanggung kecederaan "buruk" di ligamen pergelangan kaki kirinya ketika menentang Manchester City dalam pertemuan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), demikian umum Tottenham hari ini, namun kelibatnya belum diketepikan untuk baki musim ini.

Kane ditimpa kecederaan berkenaan ketika saling berebut bola dengan rakan sepasukan England, Fabian Delph, di Stadium Tottenham Hotspur yang baru, kelmarin.

Son Heung-min menjaringkan gol untuk skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu membawa kelebihan 1-0 menjelang aksi timbal balik minggu depan tetapi pengurus Spurs tersebut sedia menerima hakikat sekiranya Kane terpaksa direhatkan sepanjang musim ini.

Semalam, Spurs mendedahkan ujian ke atas buku lali Kane yang tercedera menunjukkan "kecederaan ligamen di pergelangan kaki kiri" tetapi kelab itu memberi bayangan bahawa penyerang berkenaan boleh kembali musim ini sambil mengatakan "perkembangannya akan terus dinilai oleh kakitangan perubatan dalam tempoh beberapa minggu akan datang."

Spurs menerima satu lagi tamparan hebat ekoran Dele Alli mengalami keretakan di tangan kirinya dalam kemenangan ke atas City itu.

Menurut Spurs: "Pemain England itu akan dinilai untuk menentukan kedudukannya sempena perlawanan Liga Perdana dengan Huddersfield Town hujung minggu ini."

Kane, yang menyumbat 17 gol Liga Perdana musim ini, terlepas aksi selama enam minggu akibat kecederaan buku lali pada awal tahun ini.

Spurs akan menghadapi City dalam pusingan kedua suku akhir, Khamis depan, sebelum melanjutkan perseteruan mereka dalam liga apabila kembali ke Stadium Etihad, tiga hari kemudian.