Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, berkongsi perkembangan awal mengenai kecederaan Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo dengan menyifatkannya sebagai 'agak negatif'.

Ibrahimovic dan Rojo ditimpa masalah lutut ketika United mara separuh akhir Liga Europa hasil kemenangan 2-1 pada masa tambahan ketika menundukkan Anderlecht di laman sendiri, awal pagi tadi.

Tetapi kejayaan secara agregat 3-2 itu hadir dengan harga yang mahal apabila Ibrahimovic dan Rojo seolah-olah bakal berehat panjang.

"Saya tidak fikir mereka mudah tercedera, namun saya lebih suka untuk menunggu sehingga semua ujian selesai dan kemudian memberi laporan.

"Saya tidak boleh berbuat demikian kerana saya seorang pengurus, bukan doktor," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Tetapi, saya fikir beritanya agak negatif."

Henrikh Mkhitaryan membuka jaringan buat United seperti yang dilakukannya di Belgium, begitupun kelebihan jaringan itu dipadamkan oleh Sofiane Hanni.

Ia memerlukan sehingga minit ke-107 untuk tuan rumah mengesahkan kemenangan menerusi Marcus Rashford, yang kemarau jaringan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak September lalu sebelum menemui sentuhan secara berturut-turut, bulan ini.

"Anda bercakap mengenai kualiti yang dimiliki dan mereka adalah menakjubkan. Mentalitinya dalam keadaan sangat bagus," kata Mourinho.

"Dia tidak menjaringkan sebarang gol sejak September, beberapa pemain tidak faham apa yang saya mahukan tetapi saya percaya dengan Marcus.

"Tidak kira jika dia tidak menjaringkan gol atau tidak -- dia adalah hebat dengan usaha dan sikap yang ditonjolkannya."

Kemenangan itu juga menyaksikan United melebarkan rekod tanpa kalah di Old Trafford pada musim ini kepada 26 perlawanan -- 17 kemenangan dan sembilan keputusan seri.

Rekod tanpa kalah di laman sendiri paling lama pernah dilakukan United adalah pada 2011 dengan melibatkan 37 perlawanan.

Kali terakhir United kalah di depan penyokong sendiri adalah dalam aksi 'derby' Manchester pada September lalu.