Kingsley Coman digugurkan daripada skuad Perancis ekoran kecederaan pergelangan kaki, demikian menurut Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF).

Pemain berusia 20 tahun itu dilanda kecederaan tersebut semasa menjalani latihan dan selepas diperiksa oleh pasukan perubatan, dia dibenarkan kembali ke Bayern Munich bagi tujuan rawatan.

FFF turut mengesahkan pemain tengah AS Monaco, Thomas Lemar, dipanggil ke dalam skuad senior buat julung kalinya sebagai pengganti Coman.

Berita itu menambah keperitan yang dihadapi ketua jurulatih, Didier Deschamps, yang sudah pun kehilangan Samuel Umtiti di bahagian pertahanan tengah ekoran masalah hamstring yang dideritainya dalam perlawanan ujian.

Berikutan itu, pemain Manchester City yang dipinjamkan ke Valencia, Eliaquim Mangala, dipanggil untuk mengukuhkan pertahanan Les Bleus.

Patrice Evra turut tersenarai untuk mengambil tempat Layvin Kurzawa yang ditimpa kecederaan pangkal paha.

Perancis akan bertemu Sweden dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Saint-Denis sebelum mengadakan perlawanan persahabatan dengan Ivory Coast, empat hari kemudian.