Jurgen Klopp berharap pemain yang sebelum ini dipinggirkan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fabinho susulan kecederaan buku lali yang dialami pemain tengah Brazil itu.

Khidmat Fabinho terpaksa dilupakan sehingga tahun baru selepas mengalami kecederaan buku lali sewaktu The Reds diikat 1-1 oleh Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri.

Bekas pemain AS Monaco itu merupakan pilihan tunggal selaku pemain tengah bertahan buat Klopp walaupun Georginio Wijnaldum membuktikan kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan posisi itu ketika menentang wakil Serie A itu.

Kapten, Jordan Henderson, merupakan seorang lagi pilihan berpengalaman yang mampu bermain di depan pertahanan buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dan tidak kira siapa yang mengisi kekosongan itu, ia bakal mencipta peluang di bahagian tengah menyerang.

Alex Oxlade-Chamberlain tampil menyinar sejak kembali daripada kecederaan lutut serius dan telah memenangi semula tempat dalam skuad kebangsaan England sambil Naby Keita, Adam Lallana dan Xherdan Shaqiri mempunyai peluang terhad susulan isu prestasi dan kecergasan.

"Kami mempunyai pemain yang kurang bermain dengan sebab berbeza seperti Shaqiri dan Keita," ujar Klopp.

"Kami tidak mempunyai skuad terbesar di dunia dan kini berdepan masalah kecederaan panjang dengan dua pemain daripada aspek bertahan menerusi Joel Matip dan Fabinho.

"Ia tidak bagus. Mereka semua akan beraksi. Sudah tiba masa untuk kesemua daripada kami turun beraksi.

"Dalam persiapan kami untuk perlawanan menentang Napoli, saya menonton aksi musim lalu dan Henderson beraksi di posisi itu ketika itu. Wijnaldum pernah beraksi di posisi itu. Lallana juga pernah.

"Kami boleh ubah sistem dan lakukan perkara berbeza. Kehilangan pemain berkualiti seperti Fabinho adalah sesuatu yang sangat buruk tetapi bukan kami sahaja pasukan yang berdepan masalah kecederaan.

"Ia tidak bagus tetapi jelas sekali Fabinho tidak boleh beraksi dalam kesemua perlawanan bermula sekarang sehingga Mac nanti."

Lebih buruk, kecederaan Fabinho itu hadir tatkala Liverpool memasuki bulan Disember yang sibuk, termasuk perjalanan jauh ke Piala Dunia Kelab di Qatar selepas aksi getir saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Salzburg.

"Disember sentiasa menjadi tempoh getir. Kami pernah melalui Disember yang indah tetapi Januari yang santai," tambah bekas pengendali Borussia Dortmund itu.

"Jadi, ia mengenai menghadapi semua cabaran dan dapatkan seberapa banyak mata yang boleh."