Pep Guardiola berasa serba-salah tidak menggunakan Phil Foden sewaktu menentang Fulham tetapi menjelaskan kecederaan buku lali yang dialami penyerang Manchester City, Sergio Aguero, membuatkannya tidak dapat membawa masuk pemain muda itu.

Guardiola berpendapat Foden wajar menerima panggilan skuad kebangsaan England sebelum aksi di Etihad, sebelum jaringan Leroy Sane, David Silva dan Raheem Sterling memberikan kemenangan 3-0 buat The Citizens.

Namun, Foden, yang hanya tampil sekali dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, hanya memanaskan bangku simpanan walaupun City meraih kemenangan mudah ke atas pasukan yang baru dinaikkan daripada Liga Kejuaraan itu.

City bakal berdepan Olympique Lyon dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah pada pagi Khamis ini dan pengendali, Guardiola, menjelaskan perlawanan itu menjadi faktor dia terpaksa membawa keluar Aguero lebih awal dalam babak kedua.

"Saya rasa bersalah kerana Foden layak beraksi tetapi dia tidak bermain," ujar Guardiola.

"Kami berdepan masalah dengan Aguero dalam separuh masa pertama dan tidak mahu mengambil risiko. Saya rasa bersalah kerana kerana dia layak beraksi tetapi Foden akan beraksi dalam banyak perlawanan.

"Aksi berdepan Newcastle menyaksikan pemain-pemain kepenatan dan kami bakal berdepan dua aksi dalam seminggu, jadi dia akan bermain. Saya sangat meminatinya dan setiap kali beraksi, dia bermain dengan cemerlang, jadi saya yakin dia akan tampil selepas ini," ujarnya.

Dalam masa sama, Guardiola menjelaskan bahawa kecederaan yang dialami Aguero tidak dirasakan serius tatkala Gabriel Jesus yang masuk menggantikannya selepas sembilan minit permainan bersambung, membantu Sterling menjaringkan gol.

"Dia melompat, terjatuh dan berasa sesutu," tambah Guardiola.

"Dia menamatkan babak pertama, kemudian berasa tidak selesa dalam separuh masa kedua tetapi selepas mendahului 3-0, tiada apa yang perlu dipertaruhkan. Kami harus melihat bagaimana dia melalui pemulihan."