Kecederaan bahu kanan yang dialami Charlie Austin menambahkan lagi derita Southampton dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.

The Saints memerlukan kemenangan atau keputusan seri tanpa jaringan untuk melangkah ke peringkat seterusnya ketika bertemu Hapoel Be'er Sheva di St Mary tetapi keputusan seri 1-1 menyaksikan kelab dari Israel itu menduduki tangga kedua dalam Kumpulan K dan mara ke saingan kalah mati.

Austin telah mengalami siri kecederaan bahu yang berpanjangan di dalam kariernya dan pengurusnya, Claude Puel, tidak boleh meletakkan jangka masa untuk pulih pada kecederaan yang dialaminya kini selepas penyerang itu terpaksa digantikan pada separuh masa pertama.

"Dia mengalami kecederaan bahu dan saya tidak tahu berapa lama dia tidak akan bersama pasukan tetapi buat masa ini dia cedera," kata Puel.

"Ia satu kekecewaan besar untuk kami. Ia perlawanan yang sukar menentang lawan yang baik, yang sentiasa kelihatan berbahaya ketika memiliki bola, tetapi kami mempunyai peluang semasa perlawanan.

"Hanya satu kesilapan, satu jaringan pada akhir -- kami kehilangan bola dan mereka menjaringkan gol. Ia amat sukar untuk menerima situasi ini, dan ia sangat sukar untuk pemain saya. Ia adalah satu kekecewaan besar untuk pasukan dan juga penyokong.

"Dalam perlawanan ini segalanya sukar tetapi itulah realiti dalam bola sepak.

"Ia satu kekecewaan besar kerana kami telah memberikan segalanya. Ia amat sukar apabila disingkirkan tetapi kini ia adalah penting kami mendapat tindak balas yang baik daripada semua pasukan."

Southampton kembali beraksi dalam Liga Perdana pada Ahad apabila mereka menjadi tuan rumah kepada Middlesbrough.